Pemuda PBS Sokong Kerajaan Negeri Bantah Penangguhan Isu 40 Peratus Hasil Sabah

Pemuda PBS Sokong Kerajaan Negeri Bantah Penangguhan Isu 40 Peratus Hasil Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Kerajaan Negeri Sabah untuk membantah permohonan penangguhan oleh Peguam Negara Persekutuan berhubung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada negeri ini bagi tempoh 1974 hingga 2021 yang dikenali sebagai “Lost Years”.

Ketua Exco Pemuda PBS, Christopher Mandut berkata, tindakan Kerajaan Negeri mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah wajar kerana perkara tersebut melibatkan hak perlembagaan Sabah yang telah lama tertangguh.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 jelas mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mengadakan semakan bersama bagi melaksanakan pemberian geran khas 40 peratus dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pemuda PBS berpandangan bahawa keputusan mahkamah itu perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak tanpa sebarang usaha yang boleh melambatkan proses penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata rakyat Sabah telah lama menunggu penyelesaian yang adil terhadap isu pemberian geran khas tersebut yang merupakan hak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebarang usaha untuk menangguhkan pelaksanaan proses tersebut hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen untuk menghormati hak Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Sehubungan itu, beliau menyokong langkah Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah untuk mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kepentingan negeri terus dipertahankan.

Christopher berkata Pemuda PBS percaya melalui kerjasama konstruktif antara Kerajaan Negeri yang dipimpin Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Persekutuan, satu penyelesaian yang adil selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dapat dicapai.

Beliau turut menyeru semua pihak agar menghormati proses perundangan yang sedang berjalan serta memberi ruang kepada rundingan yang telus dan berlandaskan semangat Persekutuan.

“Perjuangan menuntut hak Sabah bukan sekadar isu politik, tetapi merupakan tanggungjawab bersama demi masa depan dan kesejahteraan rakyat negeri ini,” tegasnya.