KOTA KINABALU: Seramai 60 peserta tadarus Badan Kebajikan Islam Kementerian Kewangan Negeri Sabah (BKI-KKNS) menerima sumbangan sebagai tanda penghargaan atas penglibatan mereka menjayakan program tadarus sepanjang Ramadan.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair pada Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Al-Quran 2026 anjuran BKI-KKNS di sini, baru-baru ini.
Program yang membawa tema “Semarak Harmoni Iftar: Kebersamaan Warga Kewangan” itu turut menjadi platform mengimarahkan bulan Ramadan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Majlis dimulakan dengan Khatam Al-Quran yang disertai peserta tadarus sebelum ketibaan tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Chong Chen Bin; Pembantu Menteri Kewangan II, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub; selain pegawai kanan dan kakitangan kementerian.
Majlis turut diserikan dengan simbolik penyampaian cenderamata kepada peserta tadarus serta sesi bergambar bersama warga Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Sementara itu, Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar menyampaikan tazkirah Ramadan yang menekankan kepentingan memperkukuh ukhuwah, meningkatkan amalan ibadah serta memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan penjawat awam.
Program diteruskan dengan azan Maghrib dan jamuan berbuka puasa, diikuti solat Maghrib, Isyak serta Terawih secara berjemaah sebelum diakhiri dengan jamuan moreh.
Selain mengimarahkan bulan Ramadan, majlis tersebut turut menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga Kementerian Kewangan Negeri Sabah.






