KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa organisasi itu merupakan sebuah “persatuan haram”, sambil menegaskan bahawa ia hanyalah sebuah jawatankuasa bertindak dan bukannya pertubuhan atau persatuan yang perlu berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Setiausaha G57, Noraidi Maya berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung penyebaran dakwaan berunsur fitnah itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa bertanggungjawab menyebarkan maklumat tidak benar sehingga menjejaskan nama baik serta reputasi organisasi berkenaan.
Beliau berkata, G57 juga sedang mengesan identiti individu yang didakwa membuat laporan polis yang dirujuk dalam hantaran media sosial berkenaan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Saya menafikan dakwaan tersebut sekeras-kerasnya. Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) bukan sebuah persatuan dan bukan sebuah pertubuhan berdaftar. G57 hanyalah sebuah jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan pada tahun 2018 sebagai platform advokasi rakyat melalui saluran undang-undang,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing di sini, hari ini.
Menurut Noraidi, G57 tidak mempunyai keahlian, tidak mengenakan yuran keahlian, tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), tidak mempunyai perlembagaan persatuan mahupun struktur organisasi sebagaimana sebuah persatuan.
Sebaliknya, katanya, G57 berfungsi sebagai sebuah jawatankuasa bertindak yang dianggotai secara sukarela oleh peguam kanan dan individu yang komited membantu rakyat menerusi khidmat nasihat undang-undang, bantuan guaman secara pro bono serta advokasi dalam pelbagai isu kepentingan awam.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 2018, G57 telah membantu ramai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, termasuk membangkitkan isu Allahyarhamah Zara Qairina sehingga kerajaan bersetuju mengadakan inkues.
Mengulas tindakan susulan, Noraidi berkata pihaknya telah membuat laporan polis bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia mendapatkan laporan polis asal yang dirujuk dalam hantaran media sosial tersebut serta menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat unsur pemberian maklumat tidak benar, pertuduhan palsu, fitnah atau apa-apa kesalahan lain, kami memohon agar tindakan tegas diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, antara peruntukan yang boleh dipertimbangkan ialah Seksyen 182 Kanun Keseksaan berkaitan pemberian maklumat palsu kepada penjawat awam, Seksyen 211 Kanun Keseksaan berhubung pertuduhan palsu serta Seksyen 499 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan fitnah.
Dalam pada itu, Noraidi berkata peguam G57 akan mengeluarkan Notis Tuntutan (Letter of Demand) sebaik sahaja identiti individu yang didakwa membuat laporan polis berkenaan dikenal pasti.
Katanya, sekiranya pihak terbabit gagal menarik balik dakwaan, membuat permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan yang sewajarnya, G57 akan memfailkan saman bagi mempertahankan nama baik organisasi serta Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar.
“Mana-mana pihak yang terus mengulangi, menerbitkan atau menyebarkan dakwaan sama tanpa asas yang kukuh juga boleh berdepan tindakan undang-undang sekiranya perbuatan itu menjejaskan nama baik G57 atau mana-mana individu yang berkaitan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Noraidi turut menjelaskan bahawa G57 bukan penganjur Himpunan Bangkit Sabahan 2.0.
Menurut beliau, penganjur sebenar ialah Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan, manakala Datuk Zulkarnain hanya berperanan sebagai penasihat kepada sekretariat berkenaan.
Beliau turut menyeru semua pihak, termasuk Parti Warisan Sabah, supaya tidak berasa gentar terhadap penganjuran himpunan itu kerana perhimpunan aman merupakan hak rakyat yang dijamin undang-undang selagi mematuhi peruntukan sedia ada.
Tambahnya, antara intipati utama himpunan tersebut ialah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertimbangkan untuk membuka semula siasatan terhadap dakwaan rasuah yang melibatkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Noraidi sekali lagi menegaskan G57 akan terus mempertahankan integriti organisasi melalui saluran undang-undang serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara bebas, profesional dan adil.
“Kami percaya kepada kedaulatan undang-undang. Kebenaran akan sentiasa berdiri di atas fakta, manakala sebarang fitnah hendaklah diputuskan mengikut proses undang-undang,” katanya.






