GRS Belum Bincang Perkara Berkaitan Kerusi DUN Sabah Untuk PRN Akan Datang

GRS Belum Bincang Perkara Berkaitan Kerusi DUN Sabah Untuk PRN Akan Datang

0
SHARE
Nizam
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Sumber Foto: Ihsan Gagasan Rakyat)

KOTA KINABALU, SABAH – Pimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum membincangkan sebarang perkara berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihaknya kini menumpukan perhatian dalam pembangunan negeri.

“Perkara berkaitan kerusi DUN Sabah untuk PRN yang akan datang belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi GRS.

“Ini kerana fokus Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah pada masa ini ialah untuk terus komited melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Merujuk kepada kenyataan media Datuk Yong Teck Lee berkenaan dengan cadangan SAPP agar GRS bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Negeri Sabah adalah merupakan pandangan peribadi beliau dan parti SAPP.

“Kita menghormati pandangan beliau ini namun ia bukanlah melambangkan pandangan GRS secara kolektif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, Nizam turut berkata kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik.

“Kita hargai dan berterima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama sekali semasa kita menghadapi ‘Langkah Kinabalu’ pada awal tahun ini iaitu krisis politik yang ditimbulkan oleh WARISAN dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah.

“Sokongan dan kerjasama yang telah terjalin dalam kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini dapat diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan negeri Sabah tercinta,” katanya.