KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menanggung kekurangan hasil kira-kira RM714,000 selepas mengecualikan caj RM10 bagi penggantian MyKad rosak, kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata langkah itu bertujuan membantu rakyat, khususnya mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri. Sejak pengecualian diumumkan, hampir 10,000 orang termasuk 817 di Sabah telah menukar MyKad.
“Kerugian hasil bukan isu. Yang penting KDN menjadi pemudah cara menjayakan BUDI 95, subsidi petrol bersasar yang hanya dinikmati rakyat Malaysia dengan MyKad sah,” katanya semasa lawatan kerja ke IPK Sabah, Jumaat.
Pengecualian caj berkuat kuasa sehingga 7 Oktober ini hanya melibatkan MyKad rosak, manakala kehilangan atau kecurian kekal dikenakan bayaran biasa.
Dalam lawatan itu, Saifuddin turut menyerahkan bantuan tunai dan barangan keperluan kepada 93 kakitangan agensi KDN serta 20 keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.
Menurutnya, inisiatif pengecualian dan bantuan banjir ini mencerminkan nilai prihatin dan empati yang diterapkan KDN di bawah Kerajaan MADANI.
Sementara itu, beliau turut menegaskan kesiapsiagaan lebih 20,000 anggota polis dengan aset sokongan menghadapi Monsun Timur Laut hujung tahun ini.






