Amanah Jangan Dikhianati, Sabah Terima Kelulusan Kewangan Tertinggi Dalam Sejarah

Amanah Jangan Dikhianati, Sabah Terima Kelulusan Kewangan Tertinggi Dalam Sejarah

0
SHARE

TAWAU, 26 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pemimpin yang diberi tanggungjawab tidak boleh menyalahgunakan amanah rakyat dengan mengaut kekayaan negara untuk kepentingan diri.

Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab yang dipikul perlu dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Bila Allah bagi amanah, kerja dengan amanah. Jangan curi harta rakyat. Jangan curi balak. Jangan curi projek. Jaga kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap di Program Rapat Umum PKR di Dewan Terbuka Dato Sri Najib, Kampung Merotai Besar, malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ahli Parlimen Tawau, Datuk Loh Su Fui.

Anwar turut menempelak sikap segelintir bekas pemimpin yang lantang mengkritik selepas tidak lagi berkuasa, sedangkan ketika berpeluang memimpin, mereka gagal melaksanakan tanggungjawab.

“Jangan bila esok dah berhenti, dah tak sokong, atau dah bersara, bising sana-sini. Ini tak betul, ini tak betul. Masa kamu perintah, mengapa kamu tak buat?” soalnya.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan pimpinannya memberi tumpuan serius terhadap pembangunan Sabah, termasuk menyalurkan kelulusan kewangan tertinggi dalam sejarah kepada negeri itu.

“Dalam sejarah, inilah di bawah Kerajaan Perpaduan dengan keadilan sebagai Perdana Menteri, inilah kelulusan kewangan tertinggi dalam sejarah kepada Sabah,” ujarnya.

Beliau turut menekankan komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan menyelesaikan perkara yang sekian lama tertangguh.

“Semua bising, ini belum buat. Kamu dalam kerajaan dulu, apa yang kamu buat? Saya berada dalam kerajaan, banyak yang diselesaikan,” katanya.

Anwar mengumumkan bahawa buat pertama kali sejak 1993, Sabah dan Sarawak akan menerima tambahan kerusi Parlimen seperti yang diminta oleh kedua-dua negeri.

“Baru-baru ini, orang Sabah dan Sarawak minta tambah kerusi Parlimen. Saya jawab pertama kali sejak 1993, Anwar sebagai PM mengumumkan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak akan ditambah,” katanya.

Anwar menyeru rakyat Sabah agar memilih pemimpin yang benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat dan bukannya hanya menghamburkan retorik.

“Kita umumkan projek rakyat. Nak pilih pemimpin di Sabah, pilih pemimpin yang perjuangkan untuk rakyat Sabah,” tegasnya.