TAWAU, 26 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan janji manis pihak tertentu menjelang pilihan raya yang diibaratkannya seperti janji “gunung, bulan” ketika bercinta, namun gagal ditunaikan selepas mendapat kuasa.
Anwar menegaskan bahawa pentadbirannya berpegang pada prinsip menunaikan janji dengan tindakan nyata.
“Bila nak dekat pilihan raya, orang janji gunung, bulan… macam orang asmara. Janji istana, permaidani.
“Tapi lepas kahwin, mana istana? Yang ada rumah atap robek, permaidani tikar mengkuang. Janji masa bercinta tak boleh pakai semua.
“Kalau saya janji, saya akan tunaikan,” katanya ketika berucap di Program Rapat Umum PKR di Dewan Terbuka Dato Sri Najib, Kampung Merotai Besar, malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ahli Parlimen Tawau, Datuk Loh Su Fui.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya telah membuktikan kesungguhan menunaikan janji, antaranya pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan Rancangan Tebatan Banjir (RTB), serta projek air di Sabah yang diusahakan bersama kerajaan negeri.
“MA63 kita tunaikan. Projek RTB dalam sejarah kita tunaikan. Ketua Menteri Sabah ada sebut pasal air, kita tunaikan bersama. Peruntukan, pinjaman, dan itu dalam proses dan akan siap,” jelasnya.
Mengulas projek tebatan banjir, Anwar mengakui beberapa projek besar masih dalam pembinaan dengan jangkaan siap antara 2026 hingga 2028. Namun, beliau menekankan usaha percepatan sedang dibincangkan agar manfaat dapat dinikmati lebih awal.
“Soalnya, kenapa tak buat dulu? Mengapa masa Perikatan Nasional dulu tak buat? Dia cakap hidup Melayu, jaga anak Sabah. Mana dia projeknya? Tak ada. Yang ada hanyalah hamburan kata-kata,” sindirnya.
Perdana Menteri menutup ucapannya dengan mengingatkan bahawa perjuangan sebenar adalah kesungguhan menunaikan kata-kata.
“Jangan kamu janji dan bicara yang kamu tak tunaikan. Insya-Allah, sedaya upaya kita akan tunaikan,” katanya.






