Keselamatan Pelancong, Pematuhan SOP Jadi Fokus Pertemuan KePKAS–MOTAC

Keselamatan Pelancong, Pematuhan SOP Jadi Fokus Pertemuan KePKAS–MOTAC

0
SHARE

KOTA KINABALU: Aspek keselamatan pelancong dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) menjadi antara fokus utama dalam pertemuan rasmi antara Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Jafry Ariffin, dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, semalam.

Pertemuan tersebut membincangkan pelbagai isu strategik berkaitan industri pelancongan Sabah yang memberi kesan langsung terhadap keselamatan, kebajikan serta pengalaman pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke negeri ini.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Rizal.

Perbincangan antara lain menumpukan kepada pematuhan SOP melibatkan pengangkutan bot pelancong, aktiviti selam skuba dan sukan air, selain keadaan infrastruktur pelancongan awam yang uzur dan berpotensi menjejaskan keselamatan pengunjung.

Menurut Jafry, isu pelesenan dan kelulusan turut diberi perhatian serius, termasuk kewujudan pengusaha dan pemandu pelancong tidak berlesen, penyalahgunaan lesen, operasi tanpa kelulusan sah serta promosi pakej pelancongan oleh pihak tidak bertauliah.

Beliau berkata, status kelulusan pembinaan dan operasi premis pelancongan seperti hotel dan resort juga dibincangkan bagi memastikan semua kemudahan mematuhi syarat keselamatan dan peraturan yang ditetapkan.

Selain itu, aktiviti pelancongan haram atau tidak sah turut dikenal pasti sebagai antara cabaran utama, termasuk operasi bot melalui jeti haram atau tidak berdaftar, kutipan fi kemasukan pulau secara tidak sah, penggunaan pas lawatan sosial untuk tujuan komersial, operasi tanpa permit pihak berkuasa tempatan serta penggunaan kenderaan pelancongan yang tidak dilesenkan.

Dalam pertemuan tersebut, MOTAC menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan KePKAS bagi memperkukuh penguatkuasaan, penyelarasan pelesenan, perkongsian maklumat serta pelaksanaan inisiatif strategik bagi memastikan industri pelancongan Sabah dikendalikan secara lebih selamat dan berdisiplin.

Jafry berkata, pendekatan bersama yang tersusun dan berfokus antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diyakini mampu memberi impak positif terhadap pengurusan sektor pelancongan Sabah, sekali gus memastikan pembangunan industri itu dilaksanakan secara mampan, selamat dan berdaya saing.

Beliau menegaskan, kerjasama erat antara kedua-dua pihak penting bagi memelihara reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berkualiti dan bertaraf antarabangsa, khususnya dalam menjamin keselamatan pelancong.