BRATISLAVA, SLOVAKIA – Sebuah kereta terbang hybrid milik syarikat Klein Vision AirCar kini dilaporkan menerima sijil kelayakan udara oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Slovakia.
Menurut laporan Badan Penyiaran Britain (BBC), kereta terbang hybrid itu dilengkapi enjin Bavarian Motor Works (BMW) dan mampu mencapai kelajuan melebihi 160 kilometer sejam dan ketinggian melebihi 2.5 kilometer.
Kereta terbang itu menggunakan petrol untuk bergerak dan ianya mengambil masa selama dua minit dan 15 saat untuk bertukar daripada kereta menjadi sebuah pesawat.
Difahamkan untuk mendaptkan sijil itu, syarikat tersebut perlu melakukan ujian penerbangan selama 70 jam dengan lebih daripada 200 pelepasan dan pendaratan.
“Pensijilan AirCar menjadi titik tolak kepada pengeluaran kereta terbang yang sangat cekap secara besar-besaran…
“Ia adalah rasmi dan keupayaan kami akhirnya disahkan untuk mengubah perjalanan jarak a jauh,’’ kata penciptanya, Profesor Stefan Klein.
Pada Jun tahun lalu, kereta terbang itu dilaporkan berjaya menamatkan penerbangan selama 35 minit antara lapangan terbang antarabangsa yang terletak di bandar Nitra ke bandar Bratislava, Slovakia.
Ia dikatakan berlepas dan mendarat seperti pesawat konvensional serta memerlukan lesen juruterbang untuk diterbangkan.