Suhaimi Sokong Cadangan Mansuhkan Skim Pencen Wakil Rakyat

Suhaimi Sokong Cadangan Mansuhkan Skim Pencen Wakil Rakyat

0
SHARE
Suhaimi Nasir, Ketua Penerangan UMNO Sabah

SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menyatakan sokongannya terhadap pemansuhan pencen bagi penjawat awam dimulakan dengan wakil rakyat.

Jelasnya, cadangan Pemuda UMNO berhubung perkara itu amat disambut baik oleh pelbagai pihak termasuk beliau sendiri.

“Adalah tidak adil kepada penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan, sedangkan wakil rakyat hanya berkhidmat dalam tempoh lima tahun telah layak menerima pencen,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada wakil rakyat sekiranya  tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini.

 

“Kita memahami tekanan kewangan ditanggung kerajaan. Sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen ini, ia hendak terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima skim berkenaan.

“Keputusan kerajaan itu dilihat seperti berat sebelah. Oleh itu, kita mendesak kerajaan agar membuat kajian semula berhubung perkara ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung keputusan kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini, tidak lagi menerima pencen tetapi menerusi sistem persaraan baharu.

“Saya amat bersetuju agar penjawat awam baharu berstatus tetap akan datang mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kerajaan akan memberi sumbangan kepada pencarum seperti yang dilakukan dalam sistem sektor swasta.

Kerajaan akan menanggung kos mencecah RM120 bilion menjelang 2040 hanya untuk membayar pencen penjawat awam dengan sistem persaraan sedia ada.

Suhaimi menjelaskan langkah ini akan dapat mengurangkan kos yang ditanggung kerajaan bagi pembayaran sistem persaraan baharu kepada penjawat awam yang sewajarnya turut membabitkan wakil rakyat.