KOTA KINABALU: Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia diminta mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan secara terhormat susulan dakwaan beliau sudah hilang keyakinan dan sokongan majoriti pimpinan parti.
Ketua Penerangan USNO, Iskandar Zulkarnain Ramli berkata, keputusan membawa USNO keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan tindakan politik yang tergesa-gesa, tidak bijak dan lebih memudaratkan berbanding menguntungkan parti.
Menurutnya, dalam keadaan USNO sendiri tidak mempunyai kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), tindakan meninggalkan kerajaan tanpa hala tuju pembangkang yang jelas hanya akan melemahkan lagi kedudukan parti serta menjauhkan USNO daripada peluang membantu rakyat dan membina semula kekuatan politiknya.
“Hakikatnya, kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor ketika ini mempunyai rekod kestabilan dan pencapaian yang jauh lebih baik berbanding beberapa kerajaan terdahulu.
“Maka tidak ada keperluan munasabah untuk USNO keluar daripada GRS hanya kerana keputusan politik bersifat peribadi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Iskandar yang juga Timbalan Ketua Pemuda GRS berkata, keputusan itu bukanlah dibuat secara sebulat suara memandangkan majoriti pimpinan tertinggi parti didakwa tidak lagi bersetuju dengan pendekatan dan hala tuju dibawa Pandikar.
Katanya, kehadiran 19 daripada 26 Ketua Bahagian bersama majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dalam sidang media semalam menjadi bukti jelas bahawa majoriti kepimpinan USNO tidak lagi menyokong kepimpinan Presiden parti itu.
“Malah, sayap-sayap utama parti seperti Kaum Ibu dan Kumpulan Generasi Baru (KGB) juga tidak pernah dibawa berbincang secara menyeluruh sebelum keputusan besar ini diumumkan kepada umum,” katanya.
Beliau turut menegaskan USNO tidak boleh terus ditadbir dengan pendekatan lama yang terlalu tertumpu kepada keputusan individu sehingga suara akar umbi, bahagian dan pimpinan parti diketepikan.
Menurutnya, parti itu memerlukan kepimpinan yang lebih matang, demokratik serta memahami realiti politik semasa dan aspirasi sebenar ahli-ahli di bawah.
“Atas sebab itu, saya berpandangan bahawa Tan Sri Pandikar Amin Mulia wajar melepaskan jawatan Presiden USNO secara terhormat demi menyelamatkan masa depan parti dan memberi ruang kepada proses regenerasi kepimpinan yang lebih segar, lebih inklusif dan lebih diyakini oleh ahli-ahli parti,” katanya.
Beliau berkata, peralihan kepimpinan bukan penghinaan terhadap jasa seseorang pemimpin, namun dalam politik, keberanian untuk berundur secara terhormat apabila keyakinan majoriti mula hilang juga merupakan satu bentuk kepimpinan.






