UMNO Sabah Akan Kemukakan Cadangan Labuan Dikembalikan Ke Negeri Sabah

UMNO Sabah Akan Kemukakan Cadangan Labuan Dikembalikan Ke Negeri Sabah

0
SHARE
Datuk Seri Bung Moktar Radin...

KOTA KINABALU, SABAH – UMNO Sabah akan mengemukakan cadangan untuk mengembalikan Labuan kepada Sabah sebagai salah satu kempen parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyatan tersebut dimaklumkan sendiri oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu sidang media hari ini, di sini.

Menurut beliau, itu adalah antara tawaran baharu yang diberikan UMNO Sabah kepada rakyat jika dipilih memerintah Sabah sekali lagi.

“Perkara ketiga iaitu Labuan akan kita letak balik di negeri Sabah dan akan dijadikan sebagai daerah tambahan untuk negeri Sabah,” katanya.

Cadangan supaya Labuan dikembalikan kepada Sabah ditimbulkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli minggu lalu disebabkan kegagalan Kerajaan Persekutuan membangunkan pulau bebas cukai itu.

Rozman ketika perbahasan berkata, Labuan diberikan secara percuma kepada Persekutuan 36 tahun lalu dengan objektif memajukan pulau tersebut tetapi hakikatnya sehingga ke hari ini masyarakat di situ masih menderita dengan infrastruktur yang daif.

Sementara itu, Bung turut berkata bahawa ada empat (4) tawaran baharu UMNO Sabah kepada rakyat Sabah yang akan dimasukkan dalam manifesto parti itu.

“Pertama apa-apa juga pembangunan yang dirancang di Sabah tidak lagi kita benarkan pihak Persekutuan merancang untuk Sabah, yang merancang adalah kerajaan di negeri Sabah dan kita hanya meminta peruntukan kalau kita jangka untuk memperuntukkan satu tahun RM5 bilion atau RM10 bilion maka Kerajaan Persekutuan harus menyerahkan berbentuk ‘cash’ kepada kerajaan di Sabah.

“KEDUA, semua agensi-agensi Persekutuan yang ada di Sabah harus dipegang oleh orang Sabah. KETIGA, kami mahu Labuan dijadikan salah satu daerah di Sabah. KEEMPAT, kita akan memastikan parti menguasai kerajaan sebab kita tidak mahu parti yang memerintah tidak akan berpanjangan jika tidak sehaluan, tidak selari dengan matlamat kerajaan, jadi parti yang menggerakkan kerajaan adalah lebih sesuai untuk kita amalkan pada masa-masa akan datang,” tambah beliau lagi.

Pada masa yang sama, Bung turut menyatakan bahawa pihaknya menjangka PRU-15 akan berlaku tidak lama lagi kerana beberapa faktor yang tidak dijangka.

“Saya menjangka PRU-15 berlaku bila-bila masa kerana waktu sudah tidak lama, malah dijangka pada tahun 2021. Ekonomi seluruh dunia adalah dalam keadaan tidak baik…

“Jadi, saya rasa UMNO Sabah harus bersedia bila-bila masa sahaja,” katanya.