BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI – Kementerian Kesihatan Brunei dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ‘thermal gun’ selamat digunakan dan tiada bukti saintifik menunjukkan ia membahayakan otak atau boleh merosakkan mata.
Ini selepas wujud maklumat yang tular di media sosial mendakwa alat pengimbas suhu badan tersebut menghasilkan radiasi berbahaya kepada manusia.
Alat yang turut dikenali sebagai jangka suhu infra merah tanpa sentuhan itu kini banyak digunakan di seluruh dunia dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Pihak kementerian Brunei turut menegaskan, alat menggunakan teknologi infra merah itu selamat digunakan dan tiada bukti saintifik menunjukkan ia membahayakan otak atau boleh merosakkan mata.
Ahli radiologi di Jabatan Radiologi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr Nor Lenny Abdullah, menjelaskan jangka suhu infra merah yang diguna bagi pemeriksaan suhu di hospital, kedai, sekolah dan tempat lain adalah selamat.
“Radiasi infra merah adalah sebahagian radiasi elektromagnet, sama seperti gelombang radio, cahaya yang kelihatan, x-ray, gamma dan lain-lain, hanya sifat serta kesannya berbeza.
“Terdapat dua jenis radiasi iaitu radiasi tidak mengionkan, yang hanya menyebabkan sedikit kesan panas tetapi tidak cukup untuk mengakibatkan kerosakan jangka panjang terhadap tisu dan imbasan x-ray.
“Justeru, orang awam tidak patut panik dengan mesej yang tular ini kerana jangka suhu infra merah atau ‘thermal gun’ tidak menghasilkan radiasi seperti mesin x-ray dan selamat digunakan,” katanya.