Jelajah Usahawan IDS Melabuhkan Tirai di Tuaran

Jelajah Usahawan IDS Melabuhkan Tirai di Tuaran

0
SHARE
Ketua Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr, Ramzah Dambul bergambar bersama para wakil Program Jelajah Usahawan Akar Umbi Borneo...

TUARAN: Program Jelajah Usahawan Akar Umbi Borneo & Inisiatif DAYANG melabuhkan tirainya di Restoran Hero’s Bar, di sini, dengan acara penutupan yang penuh semangat dengan sambutan luar biasa.

Program anjuran Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah bersama Sabah Credit Corporation (SCC) ini telah menjelajah sepuluh daerah di Sabah, menyasarkan usahawan wanita muda akar umbi bagi memperkukuh jaringan ekonomi setempat.

Sepanjang dua minggu penganjuran, program ini telah berjaya menghimpunkan lebih 100 usahawan wanita muda dari daerah Papar, Sook, Kalabakan, Semporna, Lahad Datu, Beluran, Telupid, Ranau, Pitas, dan Tuaran.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk sesi perkongsian ilmu, bengkel keusahawanan serta dialog bersama komuniti usahawan tempatan.

Program penutup di Tuaran turut disertai oleh 60 belia tempatan yang mengambil peluang berkongsi pandangan dan cadangan dalam meningkatkan daya saing keusahawanan di peringkat komuniti.

Sambutan yang diterima jelas mencerminkan minat dan komitmen tinggi golongan belia terhadap pembangunan ekonomi akar umbi.

Antara kejayaan utama program ini ialah penerimaan positif terhadap Inisiatif Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang diperkenalkan dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025.

Melalui inisiatif ini, usahawan wanita muda bukan sahaja memperoleh akses pembiayaan melalui SCC, malah turut menerima latihan serta bimbingan bagi meningkatkan daya tahan dan kebolehan bersaing dalam dunia perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, program ini bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi membina hubungan langsung bersama komuniti.

“Sambutan yang diterima di setiap daerah membuktikan betapa perlunya program seperti ini diteruskan.

“IDS percaya bahawa usaha mendekatkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar mampu membuka peluang keusahawanan yang lebih adil dan inklusif.

“Dengan berakhirnya program ini, IDS berharap semangat keusahawanan yang dipupuk akan terus berkembang dan memberi impak positif kepada pembangunan komuniti setempat, ” katanya.