KOTA KINABALU, SABAH – Persembahan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dengan lagu “It’s Now and Never dan One Night With You” memukau para tetamu di Malam Sanjungan Kasih.
Lagu yang popular sekitar tahun 1960an itu dibawakan Tun Juhar sambil diiringi anakanda sulung, Brigedier Jeneral Datuk Al Hambra Juhar.
Tun Juhar yang memainkan keyboard manakala Al Hambra dengan gitar turut menghidangkan dua lagu instrumental secara medley bersama kugiran dari Keningau, The Real One Band.
Turut menghiburkan tetamu, persembahan khas oleh petugas Istana Seri Kinabalu, keluarga dan sahabat handai Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni sempena sambutan hari jadi Tun Juhar pada 5 November.
Hadir memeriahkan majlis, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim M. Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.
Malam Sanjungan Kasih pada tahun ini memilih tema bollywood dan merupakan acara penutup sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-69 Tun Juhar.





