KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Mahathir Mohamad mengumumkan pembentukan rasmi parti tersebut di Sabah pada Ahad.
“Saya harap Pejuang dapat diterima oleh rakyat Sabah kerana ia boleh menjadikan Sabah lebih progresif,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan pihak lain, Mahathir yang merupakan pengerusi pro tem Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, banyak penilaian perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Kita mahu parti yang bersih dan tiada masalah…seperti ada pemimpin yang masih menghadapi pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), beliau berkata gabungan itu akan mempertimbangkan perkara itu.
Mengenai manifesto GTA, Mahathir berkata ia akan diumumkan tidak lama lagi.
“Manifesto bukan kitab suci…kadang-kadang kita nak buat apa yang ada dalam manifesto tapi tak boleh laksanakan…
“Oleh itu, GTA akan tampil dengan manifesto yang boleh dilaksanakan. Manifesto tidak boleh memansuhkan tol…kita tidak boleh memansuhkan tol kerana kerajaan tidak mempunyai wang untuk menyelenggara jalan raya.
“Semua wang itu hanya untuk membayar hutang,” katanya lagi.
Terdahulu, Mahathir disambut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Mengulas perkara itu, Mahathir berkata tiada perbincangan khusus diadakan dengan Hajiji, yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah.
“Kami hanya bercakap tentang pembangunan Sabah,” jawabnya ringkas.
GTA terdiri daripada Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Berjasa, dan Parti Perikatan India Muslim Nasional, serta gabungan pertubuhan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa.