
PAPAR, SABAH – Semua agensi serta jabatan negeri dan persekutuan digesa mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah sepanjang Bulan Kebangsaan ini.
Menurut Pegawai Daerah, Mohd Fuad Abdullah gesaan tersebut dikhususnya kepada 40 jabatan serta agensi di daerah berkenaan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam jiwa masyarakat Madani.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 di Dewan Masyarakat, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru warga Papar agar mengambil bahagian dalam Inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang” bagi menunjukkan rasa cinta dan penghargaan kepada negara.
Ujarnya, dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, masyarakat bukan sahaja memeriahkan suasana Hari Kemerdekaan dan Hari Sabah tetapi juga memperkukuhkan ikatan sebagai rakyat Malaysia.
Tambah Mohd Fuad, setiap langkah kecil yang kita ambil untuk menunjukkan cinta kepada negara akan memberikan impak yang besar dalam konteks kempen mengibar Jalur Gemilang.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa yang juha Ketua Konvoi; Setiausaha Sulit Kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Rosli Ibrahim; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Limbahau, Datuk Johnny Mositun dan Ana Maria Bernadus; UPPM Kawang, Fahzean Mohiddin dan PPM Pantai Manis, Rahman Latip.
Turut berlangsung, penyampaian watikah kepada sembilan Komuniti Madani (KM) iaitu masing-masing tiga komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Limbahau, DUN N.28 Kawang dan DUN N.29 Pantai Manis. — JABATAN PENERANGAN SABAH





