KOTA KINABALU, SABAH – Minat bersama tiga rakan kepada dinosaur membawa mereka ke Kiulu, tempat yang dipilih untuk mengembangkan taman tema keluarga unik bagi Sabah dinamakan ‘Jurassic Land Kiulu’.
Dibina di atas tanah seluas tiga ekar dan diuruskan oleh syarikat Visiont Ventura, Jurassic Land Kiulu akan menjadi produk pelancongan eko baru yang menawarkan pengembaraan safari dinosaur kepada para pengunjung.
Pengasas bersama, Ady Kim berkata, taman itu akan dibuka untuk orang awam pada Fasa Ketiga Rancangan Pemulihan Nasional (PPN), sambil menambah terdapat sembilan dinosaur animatronik yang disediakan.

“Dalam setiap kemelesetan ekonomi akan selalu ada peluang. Kami memahami sektor pelancongan yang paling terjejas sejak mulanya pandemik, tetapi orang masih perlu keluar dari rumah…
“Kanak-kanak terutamanya terlalu lama terperangkap di rumah. Kami berharap dapat menyediakan tempat untuk dikunjungi seisi keluarga apabila keadaan beransur pulih.
“Jurassic Land adalah tempat yang mudah didatangi dan anda tidak perlu melakukan perjalanan jauh untuk menikmati masa yang berkualiti bersama keluarga dan orang tersayang,” katanya.
Ady berkata, idea untuk membina Jurassic Park di Sabah bermula dari sesi minum kopi bersama rakan Sam Chan dan Jason Poi, yang semuanya peminat filem Jurassic Park.
Terkenal sebagai destinasi pengembaraan eko, ketiga rakan itu secara semula jadi memandang kepada Kiulu sebagai lokasi taman yang baru dirancang itu.
“Kami memilih Kiulu terutamanya kerana persekitarannya yang hijau dan subur menjadikannya tempat sempurna untuk taman tema dinosaur…
“Tapak ini datang sekali dengan pemandangan indah Gunung Kinabalu. Selain itu, Kiulu adalah sebuah permata yang belum dijelajahi sepenuhnya selain tetapi mudah diakses dari sekitar kawasanKota Kinabalu,” kata Ady.
Antara aktiviti dan kemudahan yang terdapat di Jurassic Land Kiulu adalah kafe, pertunjukan dinosaur, Flying Zipline, Jumpoline dan Cycle 8 Park.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai baru-baru ini telah mengunjungi produk pelancongan baru itu.
Beliau ditemani oleh Timbalan Pengurus Besar STB (Bahagian Kewangan dan Produk) Julinus Jimit.


Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah mengatakan pembukaan Jurassic Land Kiulu akan meningkatkan lagi pelancongan desa terutamanya di Kiulu di samping memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Keberanian untuk membina satu perniagaan pelancongan baru semasa pandemik masih berterusan adalah sifat yang terpuji. Saya yakin inilah produk yang dinantikan semua apabila sektor pelancongan selamat untuk disambung semula…
“Di sebalik cabaran, STB selalu mendorong pemain-pemain industri pelancongan dan penduduk tempatan untuk tampil dengan produk pelancongan unik untuk memberikan pengalaman menarik yang baru kepada pengunjung dan pelancong,” katanya.


Joniston berharap lebih banyak syarikat tampil melabur dalam pembangunan tarikan pelancongan di Kiulu yang terkenal dengan merakit, trekking dan berbasikal bukit, antara lain.
“Ketersediaan pelbagai tempat pelancongan akan mendorong pengunjung untuk tinggal lebih lama di Kiulu yang seterusnya akan membawa kesan ekonomi yang luar biasa kepada masyarakat setempat,” kata Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu.





