Sandakan dan Paitan Bergelut Banjir Selepas Hujan Tanpa Henti

Sandakan dan Paitan Bergelut Banjir Selepas Hujan Tanpa Henti

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan sejak malam Khamis menyebabkan beberapa kawasan di Sandakan dan Paitan dilanda banjir, kejadian pokok tumbang serta jalan utama dinaiki air.

Di Sandakan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan pemantauan dan tindakan segera di lokasi terjejas.

Pokok tumbang dilaporkan di SK St. Monica dan Bandar Sandakan yang telah selesai dibersihkan, manakala di Taman Mutiara dan Batu Sapi masih dalam tindakan.

Kawasan terjejas banjir termasuk Kampung Pangiran dan Taman Fajar. Beberapa jalan turut dinaiki air antaranya Jalan Batu 7, Taman Nuri, Taman Fajar Lama, Jalan Mahkamah, Jalan Batu 8, Jalan Batu 9, kawasan Petronas Batu 6 serta Jalan Perhutanan.

APM Sandakan terus bersiap siaga dan orang awam dinasihatkan agar berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Sementara itu, Paitan diisytiharkan dilanda bencana banjir berkuat kuasa jam 6 pagi Jumaat susulan peningkatan paras air yang menjejaskan beberapa kawasan hotspot.

Pengisytiharan dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah selepas laporan lapangan mengesahkan keadaan semakin serius akibat hujan berterusan.

Perkongsian video di media sosial menunjukkan bangunan Pasar Nelayan di Pekan Paitan hampir tenggelam sepenuhnya, dengan lebih lapan kenderaan dilaporkan ditenggelami air. Penduduk turut dilihat memantau keadaan menggunakan perahu.