TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki melakukan ugutan jenayah menerusi pesanan suara di aplikasi WhatsApp terhadap seorang lelaki yang enggan memberikan wang seperti diminta.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di Hospital Tawau sebelum menerima mesej suara berunsur ancaman daripada seorang lelaki yang dikenalinya. Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis susulan ugutan tersebut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau telah menjalankan siasatan dan berjaya mengesan serta menahan suspek.
“Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia kira-kira 42 tahun yang bekerja sebagai buruh di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan imigresen.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah sebarang bentuk ugutan dan segera membuat laporan bagi membolehkan tindakan tegas diambil.






