KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan rasa simpati mendalam terhadap mangsa banjir di beberapa daerah di Sabah dan menegaskan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.
Dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi beliau hari ini, Hajiji berkata semua agensi keselamatan serta jabatan berkaitan telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas.
“Di sebalik keberkatan bulan Ramadan ini, ada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir. Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Keselamatan rakyat adalah keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri sedang dan akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan kepada mangsa terlibat.
Hajiji turut merayu penduduk di kawasan terjejas termasuk di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Saya merayu kepada semua penduduk di kawasan-kawasan yang dilanda banjir supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga. Jangan sesekali mengambil sebarang risiko,” katanya.
Beliau turut mengajak rakyat mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan untuk saling membantu dan mendoakan kesejahteraan semua mangsa.
“Dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, marilah kita saling mendoakan dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya.






