KOTA KINABALU, SABAH – Sabah FC mengambil keputusan ‘merehatkan’ Ketua Jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto berkuat kuasa hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak susulan prestasi hambar ‘The Rhinos’ kebelakangan ini.
Pengurus The Rhinos, Marzuki Nasir berkata, Penolong Jurulatih, Burhan Ajui akan menggalas tugas buat sementara waktu manakala Jelius Ating dilantik sebagai Penolong Pengurus Sabah FC yang baharu dalam tempoh itu.

“Kita yakin pengalaman yang dimiliki kedua-dua mereka ketika bersama-sama pasukan bola sepak Sabah sejak 2017…
“Ini sudah tentu akan dapat membantu skuad Badak dalam mengharungi baki perlawanan sekaligus terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Marzuki berkata, pihak pengurusan Sabah sangat kecewa dengan prestasi hambar The Rhinos selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir.
“Setakat ini semua kebajikan pemain serta pegawai pasukan sentiasa dijaga dan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak pengurusan Sabah FC,” katanya.
Tambah Marzuki, beliau berharap agar semua pihak khususnya penyokong sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepada Sabah FC bagi mengembalikan prestasi cemerlang pasukan dalam tempoh terdekat.
Sabah FC hanya mampu melakar tiga keputusan seri dalam tujuh perlawanan sepanjang pusingan kedua Liga Super yang bermula bulan lalu.
Malah, Sabah mencatat kekalahan 3-0 di gelanggang sendiri ketika berdepan Penang FC pada 22 Ogos lalu dan dibelasah 4-0 ketika menentang UiTM FC di gelanggang lawan, malam tadi.





