Pemilik Tapak Pembinaan Dikompaun, Simpan Sembilan Gelen Diesel Tanpa Permit

Pemilik Tapak Pembinaan Dikompaun, Simpan Sembilan Gelen Diesel Tanpa Permit

0
SHARE

LABUAN: Seorang pemilik tapak pembinaan di Jalan Kiansam dikompaun selepas didapati menyimpan sembilan gelen minyak diesel berjumlah 180 liter tanpa permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan dalam satu operasi penguatkuasaan, semalam.

Tindakan itu diambil menerusi Ops Pantau 2026 dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan di kawasan luar bandar.

Hasil pemeriksaan mendapati pemilik tapak berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen permit ketika diminta oleh anggota penguat kuasa. Susulan itu, sebanyak 180 liter minyak diesel disita untuk siasatan lanjut dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM477.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama.

Dalam operasi berasingan di bawah pelaksanaan SHMMP TBC 2026, seorang peniaga runcit turut dikenakan kompaun kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal iaitu ubi kentang import dari China.

KPDN Labuan dalam satu kenyataan menegaskan bahawa mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan urus niaga melibatkan barang kawalan berjadual wajib memiliki lesen, permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.

“Sebarang kegagalan mematuhi keperluan undang-undang akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi. KPDN Labuan akan terus melaksanakan pemeriksaan harian melalui Ops Pantau 2026 serta penguatkuasaan berterusan sepanjang tempoh SHMMP bagi melindungi kepentingan pengguna dan memastikan kestabilan bekalan di pasaran,” menurut kenyataan itu.