TENOM: Persatuan Etnik Murut Timugon Sabah (PEMTS) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyalahgunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan dan menyebarkan lagu lucah dalam bahasa Murut di media sosial.
Presidennya, Junik Bajit berkata, perbuatan itu melanggar norma budaya, mencemar imej komuniti Murut Timugon, serta berpotensi menimbulkan salah faham dan ketegangan di kalangan penduduk tempatan. Beliau membuat kenyataan itu semasa Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan P.E.M.T.S sesi 2026–2028.
“Isi kandungan lagu ini sepenuhnya lucah dan tidak mencerminkan identiti sebenar seni dan budaya Murut,” kata Junik.
Beliau menggesa MCMC menyiasat dengan segera dan mengambil langkah seperti menyekat atau memadam lagu-lagu tersebut bagi menghalang penyebaran lanjut. Junik juga menyeru pihak berkuasa, termasuk polis, menjejaki punca lagu dan membawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Beliau menekankan kepentingan menangani penyalahgunaan AI dan teknologi digital bagi menghalang penyebaran kandungan tidak bermoral, terutamanya di kalangan golongan muda.
Junik turut menyeru orang ramai menggunakan teknologi dengan bertanggungjawab dan menghormati sensitiviti budaya semua komuniti bagi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat berbilang etnik di Sabah.






