KUANTAN, PAHANG – Dengan menyamar sebagai anggota polis tiga lelaki bertindak menyamun seorang ejen pelaburan Forex selepas menggari dan membawa mangsa ke sebuah lokasi lain di sini.
Memetik sumber Kosmo Online, dalam kejadian Khamis lalu itu menyebabkan mangsa yang merupakan lelaki berusia 24 tahun mengalami kerugian kira-kira RM25,000 melibatkan wang tunai dan sebuah telefon bimbit jenama iPhone
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu mangsa yang sedang minum bersama teman wanitanya di sebuah restoran di sini didatangi tiga lelaki memakai pelitup muka yang memperkenalkan diri sebagai polis.
“Mangsa kemudiannya telah digari dan ditutup mulut dengan pita pelekat serta dibawa ke sebuah rumah sebelum suspek meminta telefon bimbit, beg duit dan serta kata laluan akaun bank mangsa.
“Pada 1.30 pagi keesokan harinya mangsa telah dibawa keluar daripada rumah berkenaan dan ditinggalkan di kawasan Perkuburan Cina Bukit Ubi di sini sebelum mangsa berjalan kaki ke tempat penginapannya di sini,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada sebarang senjata yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
Menurutnya kes diklasifikasi bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan bagi mengesan suspek terlibat.
Katanya pada masa ini pihak polis telah mengambil keterangan daripada mangsa dan rakan mangsa.