Sabah Moto Day 8.0 Sasar 60,000 Penyertaan – Platform Belia Lawan Najis...

Sabah Moto Day 8.0 Sasar 60,000 Penyertaan – Platform Belia Lawan Najis Dadah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Edisi kelapan Sabah Moto Day (SMD 8.0) yang bakal berlangsung pada 16 dan 17 Ogos ini di Padang Kawad, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 60,000 pengunjung dan penunggang motosikal dari dalam dan luar negeri, termasuk Sarawak, Labuan dan Brunei.

Pengerusi Skuad Anti Dadah Negeri Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan berkata, penyertaan kali ini bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti permotoran semata-mata, malah turut memperkukuh peranan belia sebagai agen perubahan menentang penyalahgunaan dadah.

“Ini adalah tahun kedua kerjasama rasmi antara Skuad Anti Dadah dan Kelab Dua Roda Bersatu dalam penganjuran SMD.

“Kami lihat komuniti permotoran ini sebagai satu kumpulan belia yang besar dan berpengaruh, maka ini adalah platform terbaik untuk mendekati mereka dan sebarkan mesej anti dadah secara santai tetapi berkesan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti telah dirancang oleh skuad tersebut termasuk booth pameran, sesi bicara khas bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), serta perkongsian pengalaman bekas penagih dadah, Bos Gerry, yang kini pemilik perniagaan makanan berjaya.

Turut hadir, Rudhi Hariyanto Ghazali, Pengerusi Kelab Dua Roda Bersatu dan pengasas SMD, yang memaklumkan antara kelainan tahun ini ialah konvoi amal ke rumah anak yatim di Tuaran bersama ahli Skuad Anti Dadah.

“SMD kali ini juga memperketat kawalan keselamatan. Kita telah mendapat kerjasama penuh daripada IPD Kota Kinabalu, RELA dan pasukan keselamatan UMS bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan peserta,” ujarnya.

Mazlan turut memaklumkan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dijangka akan merasmikan SMD 8.0 pada 17 Ogos.

Kehadiran beliau turut dijangka akan menyuntik semangat kepada anak muda agar terus menjauhi gejala negatif dan menyokong usaha kerajaan.

Skuad Anti Dadah kini mempunyai 13,000 ahli di Sabah dengan sasaran mencecah 100,000 keahlian dalam masa terdekat.

Sepanjang SMD 8.0, promosi keahlian aktif akan dijalankan termasuk cabutan bertuah dengan hadiah utama dua buah motosikal.

“Anak muda yang menyertai skuad bukan sekadar jadi ahli – mereka adalah suara perjuangan melawan dadah di lapangan,” tegas Mazlan.