KOTA KINABALU: Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Karunanithy Subbiah mengadakan kunjungan perpisahan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di Menara Kinabalu, hari ini.
Kunjungan tersebut diadakan sempena penamatan perkhidmatan beliau di Sabah selepas lebih lima tahun berkhidmat, sejak dilantik pada Mac 2019.
Datuk Karunanithy akan memulakan tugas baharu sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang dalam minggu ini.
Sebagai tanda penghargaan, Ketua Menteri Sabah merakamkan ucapan terima kasih atas segala sumbangan dan komitmen yang telah diberikan sepanjang perkhidmatan Karunanithy di negeri ini.
“Kerajaan Negeri Sabah menghargai kerjasama erat yang terjalin antara SPRM Sabah dan agensi kerajaan negeri dalam usaha membanteras rasuah dan memperkukuh integriti pentadbiran,” kata Hajiji.
Menurut kenyataan, jawatan Pengarah SPRM Sabah yang ditinggalkan Karunanithy akan diisi oleh Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, yang akan meneruskan tanggungjawab dalam menerajui usaha pencegahan rasuah di peringkat negeri.






