KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggesa masyarakat Cina untuk berganding bahu dengan Kerajaan Negeri bagi membangunkan negeri dan memastikan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berjaya.
“Dua tahun kebelakangan ini memang sukar bagi kita semua disebabkan pandemik tetapi ia harus diterima dengan tabah…
“Semoga Tahun Harimau akan menjadikan negeri kita terus maju dan rakyat hidup aman dan harmoni,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia.
Hajiji sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan sentiasa menyokong dan menggalakkan masyarakat Cina di negeri ini dalam penganjuran aktiviti kebudayaan termasuk sambutan Tahun Baharu Cina.
Katanya Tahun Baharu Cina juga disambut semua lapisan kaum dan agama di Sabah dan ciri unik itu menjadikan negeri ini contoh terbaik untuk konsep Keluarga Malaysia.
Ketua Menteri turut menasihatkan orang ramai di negeri ini supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19 sepanjang perayaan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan keluarga saya, saya mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Cina,” katanya.





