KOTA KINABALU, SABAH – Seorang wanita cetus ‘Kluster Nasakot’ selepas menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga di Kampung Nasakot, Ranau baru-baru ini.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun memaklumkan wanita yang berusia 40 tahun itu menjadi kes indeks ‘Kluster Nasakot’ selepas dirinya yang bergejala tetap hadir ke majlis pengebumian ahli keluarga yang mana hampir mendedahkan hampir kesemua penduduk kampung kepada jangkitan COVID-19.
Difahamkan, wanita itu mengalami gejala demam, selesema dan hilang deria rasa serta bau sejak 12 Ogos lalu.
“Kes indeks adalah wanita berumur 40 tahun yang dikesan positif COVID-19 ketika menjalani saringan pra-kemasukan ke wad untuk membawa anak menghidap talassemia di Hospital Ranau pada 20 Ogos lalu.
“Siasatan awal mendapati, kes indeks terlebih dahulu membawa anaknya untuk pemindahan darah di Hospital Ranau pada 3 Ogos lalu dan saringan kemasukan ke wad adalah negatif. Oleh itu, mereka dibenarkan keluar pada 5 Ogos dan hanya berada di rumah sejak 6 Ogos…
“Pada 12 Ogos, kes indeks dilaporkan mula menunjukkan gejala demam, selesema, hilang deria rasa dan bau. Tidak endah dengan simptom itu, kes indeks menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga pada 14 Ogos yang berlanjutan tujuh hari bersama-sama hampir keseluruhan penduduk Kampung Nasakot,” kata Masidi dalam kenyataan malam tadi.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata saringan kontak rapat pada 21 hingga 23 Ogos mengesan empat kontak rapat yang menjadi sub-indeks bagi kes seterusnya.

“Perkumpulan beramai-ramai ketika majlis pengebumian itu mencetus penularan wabak dalam komuniti Kampung Nasakot dan Kampung Tanid di Mukim Malinsau, Ranau…
“Daripada 95 kontak yang disaring, seramai 31 individu dikesan positif termasuk dua kes baharu hari ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, satu lagi kluster direkodkan hari ini, iaitu Kluster Sawit Jeroco di mukim Segama, Lahad Datu berkaitan jangkitan di tempat kerja di sebuah kilang kelapa sawit.
Masidi berkata, kes indeks adalah pekerja kilang iaitu lelaki berumur 27 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 26 Ogos lalu selepas bergejala sehari sebelumnya.
“Pihak pengurusan kilang dan klinik panel melakukan saringan kontak dan bersasar mulai 26 hingga 28 Ogos membabitkan 215 kontak sebelum mengesan 57 individu positif termasuk 25 kes baharu hari ini…
“Seramai 194 individu lagi didapati negatif saringan pertama. Semua kes positif COVID-19 sudah dirujuk ke CAC Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan. Kontak rapat pula sudah diarah menjalani kuarantin di ladang.
“Kebanyakan kes adalah dalam kalangan bukan warga negara yang masih belum menerima vaksin. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Sabah hari ini merekodkan 2,594 kes baharu positif COVID-19 dengan 15 kematian direkodkan iaitu LIMA (5) kes di Kota Kinabalu,EMPAT (4) kes di Penampang dan masing-masing SATU (1) kes di Lahad Datu, Tawau, Beaufort, Beluran, Tenom dan Tuaran.
