Doktor Tidak Akan Merawat Pesakit Yang Enggan Menerima Suntikan Vaksin COVID-19

Doktor Tidak Akan Merawat Pesakit Yang Enggan Menerima Suntikan Vaksin COVID-19

0
SHARE
Dr. Jason Valentine menampal notis pada kliniknya yang menyatakan dia tidak akan merawat pesakit yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19...

ALABAMA, AMERIKA SYARIKAT – Pesakit yang enggan menerima sebarang suntikan vaksin COVID-19 tidak akan dirawat, demikian pendirian seorang doktor di negeri ini kepada bakal pesakit yang datang ke kliniknya.

Memetik kenyataan akhbar tempatan New York Post, Dr. Jason Valentine yang bertugas di sebuah klinik miliknya sendiri di bandar Mobile memberitahu pendiriannya itu dalam hantaran di laman Facebook miliknya.

Selain itu juga, dia turut membuat penegasan tersebut melalui satu notis yang ditampal pada kliniknya.

“Bermula 1 Oktober 2021, Dr. Valentine tidak akan merawat pesakit yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19,” menurutnya dalam notis tersebut.

Walau bagaimanapun, hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya itu telah pun dipadam.

Terdahulu, Valentine dilaporkan membuat penjelasan mengenai keputusannya itu dalam sepucuk  surat kepada pesakit-pesakitnya.

“Kita masih belum mempunyai rawatan yang bagus untuk penyakit kronik (akibat Covid-19), namun mempunyai kaedah pencegahan yang hebat iaitu vaksin…

“Malangnya, ramai enggan divaksin  yang akhirnya membuatkan mereka mengalami sakit kronik atau meninggal dunia.

“Saya tidak boleh dan tidak akan memaksa sesiapa pun mengambil vaksin, namun pada masa sama enggan melihat pesakit menderita dan mati akibat penyakit yang boleh dicegah ini,” katanya dalam surat tersebut.

Di bawah Akta Hak Asasi Awam AS, seorang doktor tidak boleh menidakkan rawatan berdasarkan umur, jantina, bangsa, orientasi seksual, agama atau kewarganegaraan.

Bagaimanapun, tidak dapat dijelaskan sama ada seorang doktor boleh menolak untuk merawat seseorang pesakit berdasarkan status vaksinasi.