Akur Pelantikan Ismail Sabri Sebagai PM, Cabaran Buat Pembangkang Untuk Hadapi PRU-15

Akur Pelantikan Ismail Sabri Sebagai PM, Cabaran Buat Pembangkang Untuk Hadapi PRU-15

0
SHARE
Datuk Seri Anwar Ibrahim...

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempamerkan sifat “gentleman” (budiman) meskipun selepas gagal meraih sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan yang ingin diterajuinya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam sebuah kenyataan hari ini mewakili pihak Pembangkang secara keseluruhannya menjunjung kasih ke atas titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan…

“Bagi pihak Pembangkang, ini adalah cabaran untuk kita bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

Beliau yang akur dengan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang kesembilan turut mengajak seluruh golongan Malaysia untuk sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak COVID-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat.

“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15 agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada Pilihan Raya Umum yang lalu,” katanya lagi.