SMK Beaufort III Lakar Pencapaian Membanggakan

SMK Beaufort III Lakar Pencapaian Membanggakan

0
SHARE

BEAUFORT, SABAH – Walaupun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort III boleh dikatakan baharu setahun jagung berbanding sekolah-sekolah lain di daerah ini, namun pencapaiannya sangat membanggakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam berkata, sekolah ini telah berjaya mengalami lonjakan yang sangat ketara dan memperoleh pengiktirafan dalam Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik Negeri Sabah (MEKAR) sebagai sekolah harian luar bandar yang mendapat lonjakan tertinggi gred purata sekolah dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2016.

Malah pada tahun lalu, SMK Beaufort III juga mendapat anugerah Sekolah Lonjakan Saujana SPM 2020.

“Justeru, adalah menjadi harapan kita agar kejayaan ini terus mewarnai SMK Beaufort III,” katanya semasa merasmikan Majlis Sanjungan Kasih Permata Kali ke-7 SMK Beaufort III yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga SMK Beaufort III, Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) serta semua ibu bapa, beliau berkata permuafakatan mereka semua telah membuahkan hasil yang cukup “manis” untuk dituai.

Selain itu beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang menerima anugerah di majlis tersebut.

“Teruskan langkah dan tetap fokus untuk meraih kejayaan yang lebih besar. Manakala kepada pelajar lain, anda harus menjadikan kejayaan rakan-rakan sebagai sumber inspirasi dan pembakar semangat agar anda tidak ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn. Bhd. berkata, majlis yang diadakan ini membuktikan betapa kukuhnya komitmen pihak sekolah untuk menghargai dan meraikan pelajar-pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik serta kokurikulum.

“Majlis seumpama ini juga jelas mempamerkan keprihatinan dan kesungguhan pihak sekolah untuk memotivasi dan menyemarakkan lagi semangat para pelajar agar terus mencipta kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang…

“Ini meskipun berhadapan dengan realiti yang tidak dapat kita tolak, di mana dunia pendidikan hari ini memberikan cabaran yang sangat besar kepada warga pendidik.

“Malah, dugaan kepada warga pendidik menjadi semakin besar dalam situasi dunia dilanda pandemik bermula pada tahun 2020. Hanya pendidik yang berjiwa kental sahaja yang mampu mentransformasikan cabaran-cabaran ini menjadi kejayaan,” ujarnya.

Turut menghargai jasa dan sumbangan mantan pengetua SMK Beaufort III iaitu Puan Hajah Roslinah Haji Suhailin, beliau berharap agar semua pihak terus menggembleng tenaga dan idea, membulatkan hasrat dan mengukuhkan lagi iltizam agar dapat menyumbang kepada perkembangan mutu pendidikan negara dan seterusnya mencapai matlamat yang disasarkan.