
PUTATAN, SABAH – Dewan Sri Putatan terus bergema dengan sorakan para penyokong 26 pasukan dalam Aksi Pencak Silat Sukan Sabah (SAGA) X 2023.
Kejohanan semalam berlangsung meriah menerusi silat tanding dalam empat kategori iaitu Kelas A, B, C manakala, silat seni dalam tiga kategori iaitu regu, tunggal dan solo kreatif.
Antara aksi solo kreatif yang menarik perhatian ialah peserta Qhaireen Aniq Adzalan (Kinabatangan), Mohammad Naim Aiman Mohamemad Nasip (Sandakan) dan Mohammed Fazri Amrie Safrie (Penampang) dan ramai lagi.
Ketua Delegat Teknikal Pencak Silat Moksin Shaari, 47, berkata prestasi para peserta di tahap yang sangat baik dan persaingan bertaraf kebangsaan, walaupun masih di peringkat awal.
Moksin yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang Wasit Juri sejak tahun 2004 dan memegang status wasit antarabangsa pesilat sejak tahun 2017.
Beliau terus diberi kepercayaan mengemudi kejohanan tersebut dengan sokongan 39 wasit juri dan lapan orang scoring digital technical di samping kerjasama daripada beberapa jabatan serta agensi kerajaan serta persatuan silat tanahair.
Dalam perkembangan lain, Kejohanan Badminton Sukan Sabah (SAGA) X yang masuk hari kedua semalam mempamerkan aksi lebih bertenaga.
Kejohanan yang dijalankan di Dewan Juara Badminton itu menyaksikan 80 perlawanan dalam lima kategori dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran masing-masing 16 perlawanan.
Antara aksi beregu campuran yang mencuri tumpuan lensa ialah pasukan Kalabakan menentang Putatan dengan kesudahan 2-1, Kota Marudu menentang Tambunan 2-0, Kota Kinabalu menentang Kinabatangan 0-2 dan Kuala Penyu menentang Lahad Datu 0-2. — JABATAN PENERANGAN SABAH