SEMPORNA: Pertubuhan Skuad Anak Sabah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengumpul sebanyak 8,833.80 kilogram sampah sekaligus menjadikannya rekod kutipan sampah terberat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia.
Kejayaan itu dicatat menerusi Program Pembersihan Pantai Anak Sabah Semporna 2025 yang berlangsung di Padang Pekan Semporna dan Kampung Air, dengan penglibatan lebih 500 ahli Skuad Anak Sabah bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk setempat.
Menurut Timbalan Presiden II Skuad Anak Sabah, Mazlan Mainan, program berkenaan bertujuan membantu menangani isu pengurusan sisa di Kampung Air yang dihuni majoriti masyarakat tempatan, selain memperkukuh semangat sukarelawan dalam kalangan generasi muda Sabah.
“Program ini bukan sekadar aktiviti gotong-royong, tetapi satu gerakan sosial untuk membina kesedaran dan tanggungjawab terhadap kebersihan serta kelestarian alam sekitar,” katanya selepas majlis penyampaian pengiktirafan oleh wakil Malaysia Book of Records (MBOR), Edwin Yeoh Tiong Chin.
Mazlan berkata, pengiktirafan tersebut menjadi penanda aras baharu kepada NGO negeri Sabah dalam memperkasakan nilai cintakan alam sekitar dan semangat kesukarelawanan rakyat negeri itu.
Program berkenaan turut menerima sokongan strategik daripada pelbagai organisasi termasuk Sawit Kinabalu Group, Grill Patio, K2 Water, Page Eight, HS Printing Solution, dan Barber Addict.
Skuad Anak Sabah dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga, masa dan sumber bagi memastikan kejayaan program berimpak tinggi itu sekali gus mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan.






