SEMPORNA: Seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Semporna selepas mengaku bersalah menampar pipi kiri seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Tagasan Baru, di sini baru-baru ini.
Tertuduh, Sayari Hassan, 51, dijatuhkan hukuman oleh Majistret Don Stiwin Malanjun selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
Jika gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara selama satu bulan.
Kesalahan itu dilakukan pada 12 Februari lalu kira-kira jam 12.20 tengah hari di Kampung Tagasan Baru, Semporna.
Dalam prosiding sama, Mahkamah Majistret Semporna turut menjatuhkan hukuman terhadap beberapa individu lain atas pelbagai kesalahan jenayah.
Mohd Saharudin Abd Manap, 22, dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah memiliki harta curi secara tidak jujur iaitu dua bungkus minuman Milo milik Pasaraya G-Mart Borneo. Kesalahan itu dilakukan pada 24 Februari lalu kira-kira jam 2.25 petang.
Mohamad Rizal Suluno, 38, pula dijatuhi hukuman penjara selama setahun selepas didapati bersalah melakukan khianat dengan menendang cermin tingkap sebuah rumah di Kampung Perigi pada 2 Januari lalu kira-kira jam 6.30 petang.
Sementara itu, Mohd Taqiyuddin Kalumpang, 36, dijatuhi hukuman penjara dua bulan selepas didapati memiliki satu guni tembaga bakar seberat kira-kira 6.5 kilogram di Maju Jaya Enterprise, Semporna pada 23 Februari lalu kira-kira jam 12.10 tengah hari.
Dalam kes berasingan, Jaspin Mohd Asli dijatuhi hukuman penjara dua bulan selepas didapati memiliki pelbagai rokok tidak bercukai termasuk 68 karton jenama Premium, 24 karton Era Black dan 23 karton Era Premium dalam serbuan di Kampung Selamat, Semporna pada 22 Februari lalu kira-kira jam 8.30 malam. Tertuduh juga akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas tamat tempoh hukuman.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap Haima Mujassan, 48, dan Mohammad Faiz Abdul Muis selepas kedua-duanya didapati bersalah menghalang penjawat awam menjalankan tugas di hadapan Pasar Awam Sejahtera, Pekan Semporna pada 23 Februari lalu kira-kira jam 9.50 pagi. Mereka boleh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Selain itu, Mastika Ayau, 48, didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah membeli satu tiket loteri awam tanpa lesen di kaki lima Bangunan Kedai Bandar Mutiara, Semporna pada 25 Februari lalu kira-kira jam 5 petang. Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama tiga bulan.
Pendakwaan bagi kes-kes tersebut dikendalikan oleh Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela semasa prosiding dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah menegaskan pihak polis akan terus komited membanteras sebarang bentuk jenayah di daerah itu tanpa kompromi.
“Polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang kegiatan jenayah bagi membantu usaha pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.






