Artis Hong Kong Dilantik Promosi Pelancongan Luar Bandar Sabah

Artis Hong Kong Dilantik Promosi Pelancongan Luar Bandar Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Sabah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan personaliti Hong Kong, Hugo Wong, yang dilantik sebagai Rakan Strategik Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi mempromosikan pelancongan bertanggungjawab dan luar bandar di Sabah.

Kerjasama itu menyokong kempen Visit Malaysia 2026 serta persiapan Visit Sabah 2027 dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan Community-Based Tourism (CoBT), promosi destinasi luar bandar dan kebudayaan, serta inisiatif CSR industri.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

Joniston berkata inisiatif seperti itu menunjukkan bagaimana persatuan industri boleh memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkukuh ekosistem pelancongan negeri.

“Pelancongan perlu digerakkan oleh industri, manakala kerajaan berperanan menyokong melalui dasar, penyelarasan dan platform yang membolehkan pemain industri serta komuniti berkembang,” katanya.

Sementara itu, Wong berkata beliau berbesar hati dilantik sebagai Rakan Strategik CSR MCTA dan teruja untuk meneroka keunikan Sabah.

“Saya berharap dapat mengenali masyarakat, tradisi dan warisan budaya di setiap destinasi sambil menyokong usaha MCTA dalam memperkukuh pembangunan pelancongan komuniti,” katanya.

Di bawah kerjasama tersebut, Wong akan menyertai program CoBT di Tenom dan Keningau dari 6 hingga 8 Mac bagi berinteraksi dengan pengusaha pelancongan tempatan serta mempromosikan destinasi luar bandar Sabah.