PKDM Hanya Tahu Tabur Fitnah, Rakyat Sabah Tidak Mudah Terpedaya – Jaffari

PKDM Hanya Tahu Tabur Fitnah, Rakyat Sabah Tidak Mudah Terpedaya – Jaffari

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menolak tuduhan Pemangku Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Priscella Peter, yang menggesa rakyat menukar kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Jaffari Waliam, berkata dakwaan itu hanyalah modal politik PKDM tanpa asas. 

“Sejak 2020, GRS berjaya memulihkan ekonomi, menarik pelaburan dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan. Itu bukannya janji kosong, tetapi bukti nyata,” katanya.

Menurutnya, PKDM tidak mempunyai rekod pentadbiran, sebaliknya hanya menumpang isu dan retorik politik.

“Rakyat Sabah bukannya mudah ditipu dengan ucapan penuh retorik tanpa asas. Kalau mahu bercakap tentang kegagalan, lihat dulu cermin parti sendiri,” tegasnya.

Jaffari yang juga ADUN Dilantik menjelaskan isu jalan raya, bekalan air dan pekerjaan sedang ditangani melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan peruntukan berbilion ringgit.

Katanya, serangan PKDM hanyalah percubaan menutup kelemahan dalaman parti itu sendiri.

“GRS bukan sekadar slogan, tetapi kerja nyata dan pencapaian nyata. Rakyat Sabah tidak akan mudah diperbodohkan oleh retorik kosong PKDM,” tambahnya.

Terdahulu Priscella menggesa rakyat Sabah menukar kerajaan pada PRN akan datang dengan mendakwa GRS gagal menunaikan janji termasuk isu jalan raya, air dan pekerjaan.

PKDM juga mengesahkan bakal bertanding di 38 kerusi DUN.