RON97 Naik 10 Sen Kepada RM3.25 Seliter Bermula Hari Ini

RON97 Naik 10 Sen Kepada RM3.25 Seliter Bermula Hari Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak 10 sen kepada RM3.25 seliter bagi tempoh 5 hingga 11 Mac ini susulan peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turut meningkat sebanyak lapan sen kepada RM3.12 seliter bagi tempoh yang sama.

Bagaimanapun, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.

MOF turut memaklumkan harga petrol RON95 tanpa subsidi dinaikkan sebanyak lapan sen kepada RM2.67 seliter, manakala harga petrol bersubsidi RON95 di bawah program BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.

Menurut kenyataan itu, kerajaan akan terus meneliti dan melaras harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel berdasarkan perkembangan semasa pasaran minyak dunia.

“Keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan tersebut.

MOF menjelaskan bahawa penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Kerajaan juga akan terus memantau trend harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin.