Biro Penerangan Diperkasa, Gagasan Rakyat Perkukuh Persiapan Hadapi PRU

Biro Penerangan Diperkasa, Gagasan Rakyat Perkukuh Persiapan Hadapi PRU

0
SHARE

KOTA KINABALU: Biro Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah akan terus diperkasa sebagai jentera utama bagi memastikan penyampaian maklumat parti kepada rakyat lebih tersusun, berkesan dan menyeluruh menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan biro itu kini semakin kritikal dalam mendepani landskap politik semasa yang dipenuhi pelbagai persepsi, maklumat tidak tepat serta propaganda pihak lawan.

Menurut beliau, kesiapsiagaan jentera penerangan di semua peringkat perlu dipertingkatkan, bukan sahaja dari segi struktur organisasi, malah merangkumi penguasaan naratif, penggunaan media digital serta keupayaan berkomunikasi secara efektif dengan rakyat.

“Biro Penerangan bukan sekadar menyampaikan maklumat, sebaliknya menjadi benteng utama parti dalam mempertahankan dasar, menjelaskan isu dan menangkis fitnah.

“Kita mahu setiap lapisan kepimpinan dan ahli memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang sahih dan berintegriti,” katanya baru-baru ini ketika ditemui media pada program Berbuka Puasa.

Beliau turut menegaskan bahawa latihan, program penerangan serta gerak kerja bersepadu akan terus dilaksanakan bagi memastikan semua jentera benar-benar bersedia menghadapi PRU.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan kesatuan dan disiplin dalam kalangan ahli parti agar mesej yang disampaikan selari dengan pendirian serta hala tuju kepimpinan.

“Persiapan menghadapi PRU bukan hanya melibatkan jentera pilihan raya, tetapi turut merangkumi kekuatan naratif dan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti.

“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan mesej yang jelas, konsisten dan berfokus kepada kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau yakin dengan kesiapsiagaan rapi serta komitmen tinggi daripada seluruh jentera penerangan, Gagasan Rakyat Sabah mampu menghadapi PRU dengan lebih tersusun dan berdaya saing.

Hadir sama Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Senator Datuk Anna Bell Perian; Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, Barhul Sahibu; Ketua Penerangan Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah, Norhayati Mohd Adnan, serta ahli jawatankuasa biro.