KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri akan terus menyokong program pengukuhan berteraskan pengurusan governans, integriti dan antirasuah (GIA).
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk SeriĀ Sr. Safar Untong berkata, GIA amat diperlukan sebagai pemangkin ke arah kecemerlangan tadbir urus yang berlandaskan integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
“Pelaksanaan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA 2024) menjadi mercu kebanggaan yang melonjakkan reputasi negeri Sabah sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA di Malaysia.
“KITA 2024 merupakan pusat penataran ilmu edisi kedua yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas kejayaan besar edisi yang pertama pada tahun 2023.
“Program tersebut merupakan sebahagian aspirasi Ketua Menteri Sabah dalam usaha memantapkan Kerajaan Negeri yang sememangnya akan terus menyokong usaha-usaha pembanterasan gejala rasuah, pengukuhan governans dan pembudayaan integriti dengan lebih cekap dan efektif,” katanya semasa Majlis Apresiasi KITA 2024 yang diadakan di sini, pada Jumaat.
Menurut Safar, KITA merupakan konvensyen berteraskan GIA yang paling berprestij di Malaysia sejak tahun 2023.
“Penganjuran konvensyen berimpak tinggi ini mampu mengukuhkan kefahaman, kesedaran dan penghayatan dalam melestarikan pembudayaan integriti.
“Ini akan membentuk keutuhan jati diri dan keperibadian unggul warga organisasi sama ada dalam sektor awam atau sektor swasta,” katanya.
Pada majlis tersebut, Safar menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Jawatankuasa dan Petugas KITA 2024 dan Sijil Penghargaan Pelaksanaan Minggu Integriti Kementerian dan Jabatan Ketua Menteri (MIKJKM) Tahun 2024 yang dilaksanakan pada Jun sehingga Oktober 2024. — JABATAN PENERANGAN SABAH