
KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Khatam Al-Quran dapat memupuk kecintaan kepada Al-Quran dalam kalangan pesertanya.
Pengerusi Syukbah Wanita Masjid Nurul Hikmah (MNH), Hazimah Mohd Tahir berkata, majlis sedemikian juga dapat membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian masyarakat.
“Objektif penganjuran majlis ini antara lainnya adalah untuk memupuk kecintaan para peserta kepada Al-Quran dengan memahami isi kandungan dan sejarah penurunannya.
“Selain mengeratkan silaturahim, majlis ini juga adalah untuk memupuk kecintaan ahli-ahli Syukbah Wanita agar membudayakan pembacaan al-quran dalam kehidupan seharian.
“Majlis seperti ini akan membantu para ahli agar lebih memahami isi kandungan al quran itu sendiri dengan bantuan tenaga-tenaga pengajar yang berpengalaman,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Maulidur Rasul SAW Masjid Nurul Hikmah, pada Sabtu.
Beliau turut memaklumkan Syukbah Wanita MNH turut mengadakan beberapa aktiviti kemasyarakatan antaranya membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan melalui Tabung Kasih.
“Semenjak Julai 2024 sehingga kini, seramai enam orang pelajar menerima bantuan RM150 sebulan termasuk seorang yang kurang upaya dari Lahad Datu merupakan mempunyai kanser,” ujarnya.
Selain tazkirah oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bongsu @ Aziz Jaafar, majlis juga diselangi persembahan nasyid oleh Srikandi Masjid Nurul Hikmah sebelum diakhiri dengan selawat beramai-ramai bagi memuliakan Nabi junjungan dan kerahmatan majlis.
Turut hadir, Pengerusi MNH, Jahar Lasuke dan Imam Besar MNH, Maarop Tamu.
Program Khatam Al-Quran ini dimulakan sejak 2019 secara bersemuka serta atas talian dengan bimbingan dari seorang tenaga pengajar sahaja. — JABATAN PENERANGAN SABAH





