PENAMPANG, SABAH – Seorang warga emas ditemui dalam keadaan pengsan di luar sebuah rumah di Taman Dai Ming, sini, selepas menjadi antara tiga yang musnah terbakar subuh tadi.
Tiga rumah jenis teres di Lorong Muntahan 3A sini musnah sepenuhnya manakala dua lagi dianggarkan terbakar 20 peratus akibat terkena bahangan.
Lima buah kenderaan termasuk sebuah kereta sport iaitu Mazda RX8, Proton Iris, Toyota Corolla Sedan serta dua buah motor turut rentung.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kes pada jam 5.11 pagi.
“Semasa ketibaan pasukan, didapati seorang lelaki berusia 60an tidak sedarkan diri di luar rumah dipercayai trauma akibat kebakaran tersebut…
“Tindakan pasukan EMRS Bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa lalu menyerahkan kepada Ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia yang turut berada di lokasi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi pemadaman dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas menggunakan sumber pili air yang berhampiran.
“Operasi terkawal pada jam 5.43 pagi dan tamat sepenuhnya 20 minit selepas itu.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” tambahnya.