
MILAN, ITALI – Tular sekeping gambar seekor ikan Yu (Jerung) di media sosial baru-baru ini yang memiliki wajah mirip seperti khinzir.
Memetik laporan akhbar Daily Star, sepasukan anggota marin Itali menemukan haiwan yang unik itu di perairan Pulau Elba.
Daripada gambar yang tular itu, sumber memaklumkan ikan Jerung tersebut dikenal pasti sebagai ‘Angular Roughshark’ atau nama saintifiknya, ‘Oxynotus Centrina’ yang mana dapat dilihat ia mempunyai mata bulat dan muncung seperti seekor khinzir.
Ikan Jerung itu juga disenaraikan dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN) sekali gus spesies terancam.
Difahamkan, ikan Jerung itu pada kebiasaannya hidup pada kedalaman 700 meter di bawah laut.

Wakil Akuarium Elba, Yuri Tiberto memberitahu bahawa penemuan ikan yu jenis tersebut sangat jarang berlaku.
“Sebaik sahaja ditangkap, ikan yu (Jerung) itu dibawa ke akuarium kami untuk menjalani pemeriksaan sebelum dilepaskan semula ke laut…
“Kami membatalkan hasrat untuk memeliharanya di dalam salah satu tangki akuarium kerana ia adalah sejenis spesies yang tidak sesuai untuk dipelihara dalam kurungan,” kata Tiberto.