PENAMPANG, SABAH – Seorang ibu tunggal di Kampung Kipangah di sini melakar satu senyuman kegembiraan ketika menerima kunci rumah barunya yang dibina oleh Sabah Energy Corporation (SEC) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyampaikan kunci kepada Ovining @ Noni Primus, seorang ibu tunggal selama 7 tahun yang berusia 60-an, dalam satu majlis ringkas pada hari ini, Rabu.
Rumah kediaman yang dibina menggunakan Sistem Bangunan Berindustri (IBS), rumah dua bilik itu siap dalam tempoh 45 HARI yang mana dilengkapi dengan jaminan dua tahun dari kontraktor yang dilantik SEC.

SEC, sebuah GLC negeri, pada mulanya merancang untuk melakukan kerja pembaikan tetapi kemudian memutuskan untuk membina rumah baru itu kerana ternyata rumah lama itu terlalu usang sehingga tidak dapat diperbaiki lagi.
Noni kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, SEC dan Kerajaan Negeri GRS atas sumbangan serta bantuan yang diberikan kepadanya.
Dia mengatakan bahawa dia telah mencuba untuk mendapatkan rumah baharu di bawah program perumahan miskin tegar (PPRT) selama bertahun-tahun sebelum ini, tetapi tidak berhasil.
Rumah usangnya yang hampir runtuh akibat serangan anai-anai telah digantikan dengan yang baru serta sempurna atas bantuan Kerajaan GRS.

Sementara itu, Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub berkata CSR syarikat sentiasa memberi tumpuan untuk membantu rakyat Sabah yang kurang bernasib baik.
Katanya, itu adalah komitmen jangka panjang SEC untuk mengubah mata pencarian rakyat Sabah melalui pelbagai program CSR mereka.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Harun Hj. Ismail dan Lembaga Pengarah SEC bersama pasukan pengurusannya.