KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terkunci di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berhampiran Bumi Kekal Kepayan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.49 petang itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan serta BBP Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi.
Pemangku Ketua Balai BBP Putatan, PBK I Zainuddin Saidi berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 2.58 petang, pasukan mendapati seorang lelaki berusia 37 tahun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan yang berkunci.
“Pasukan bomba segera bertindak membuka pintu kenderaan tersebut bagi mengeluarkan mangsa. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi melibatkan seramai 11 anggota dengan kekuatan dua jentera dari BBP Putatan dan BBP Kota Kinabalu.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.11 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.






