Saman RM1.5 Juta Untuk Ketua Penunjuk Perasaan UMS, ‘Cytro’ Warisan – G57

Saman RM1.5 Juta Untuk Ketua Penunjuk Perasaan UMS, ‘Cytro’ Warisan – G57

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar mengesahkan bahawa surat tuntutan saman bernilai RM1.5 juta serta tuntutan permohonan maaf telah diserahkan kepada dua individu yang didakwa memfitnah dan mengaibkan beliau di media sosial.

Individu terbabit ialah Muhammad Fadhil Muhamad Kasim, yang dikenali sebagai penggerak kumpulan demonstrasi kecil di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Tandiko Dalusin, seorang ‘cybertrooper’ Pro Parti Warisan yang juga ahli PAS.

Menurut Zulkarnain, surat tuntutan telah dihantar melalui pos berdaftar pada Khamis.

“Satu lagi salinan akan diserahkan secara bersemuka oleh wakil peguam di alamat kedua-dua individu terbabit.

“Hebahan mengenai tindakan saman tersebut juga akan dibuat melalui portal berita,” katanya.

Writ tuntutan saman telah disediakan oleh pasukan guaman yang diketuai oleh Tuan Haji Boestamam dari firma guaman Tetuan Boestamam Ahmad & Co.

Tindakan undang-undang terhadap Muhammad Fadhil diambil selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah di laman Facebook miliknya dengan merujuk Zulkarnain sebagai “Orang Tua Bodoh Memilih Untuk Kekacauan”.

Tandiko Dalusin pula didakwa menerbitkan kenyataan fitnah di platform Facebook, TikTok dan YouTube dengan menuduh Datuk Zulkarnain sebagai “syaitan, orang tua bodoh dan palui”.

“Nilai saman sebanyak RM1.5 juta adalah berpatutan dan bertujuan memberi pengajaran supaya individu tidak sewenang-wenangnya melakukan fitnah, membuli atau mengaibkan pihak lain walaupun berbeza pandangan.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal maruah dan integriti. Saya mahu pastikan tindakan seperti ini tidak menjadi budaya dalam masyarakat,” tegas Zulkarnain.