SPRM Tahan Lima Termasuk Empat Bekas Pegawai Bank Disyaki Subahat Lulus Pinjaman...

SPRM Tahan Lima Termasuk Empat Bekas Pegawai Bank Disyaki Subahat Lulus Pinjaman RM11.3 Juta

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, telah menahan reman lima individu termasuk empat bekas pegawai bank kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 28 Mei 2025 terhadap kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah dikeluarkan Majistret 1 Siti Aisyah Umar Baki selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan pagi Khamis.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan antara jam 2 petang hingga 7 malam semalan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.

“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 hingga 2024 yang melibatkan kelulusan pinjaman pembiayaan bernilai kira-kira RM11.3 juta daripada 39 pemohon.

“Kesemua suspek juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a(A) Akta SPRM 2009.