TAWAU: Polis menahan 80 warga asing disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan warga Amerika Syarikat berketurunan Cina dalam serbuan di sebuah resort di Jalan Air Panas, malam Selasa.
Menurut sumber, tangkapan melibatkan 78 warga China termasuk empat wanita, serta masing-masing seorang dari Myanmar dan Laos, berusia antara 17 hingga 46 tahun.
Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu dengan berselindung di sebalik operasi resort, selain menyamar sebagai pegawai polis China untuk memperdaya mangsa.
Serbuan dijalankan kira-kira jam 9.20 malam menerusi operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Sabah dengan bantuan pasukan dari Tawau, Sandakan dan Keningau.
Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, pasport, modem, sepanduk serta pakaian seragam polis China.
Seramai 77 suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan reman, manakala tiga lagi yang menerima rawatan turut direman selepas itu.
Enam individu turut dilepaskan bagi membantu siasatan lanjut.






