
KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan (WARISAN) menggesa agar kerajaan negeri membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dengan kadar segera.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) WARISAN, Assafal P Alian berkata Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) atau RUU Anti Lompat Parti yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah mula berkuat kuasa pada 5 Oktober tahun lepas.
“Selaras dengan pindaan ini, Kerajaan Persekutuan telah meminta Kerajaan Negeri untuk mengguna pakai pindaan yang sudah digubal di bawah Jadual Ke-8 Pindaan Perlembagaan itu untuk terpakai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Bagi kerajaan Sabah, pemakaian RUU Anti Lompat Parti, setakat ini ianya masih lagi belum dilaksanakan walaupun sudah ada beberapa kenyataan media sejak awal November 2022 oleh Ketua Menteri yang memberikan komitmen untuk tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini
Berikutan pergolakan politik yang melanda Sabah, baru-baru ini, pihaknya melihat terdapat keperluan segera untuk kerajaan negeri membentangkan RUU terbabit.
“Langkah ini selari dengan apa yang telah di buat di peringkat kerajaan Persekutuan dan
juga beberapa negeri lain di Malaysia yang bertujuan untuk mengembalikan kepercayaan terhadap demokrasi dan sistem politik negara kita.
“Jika RUU ini di bentang dan diluluskan di DUN Sabah, ianya akan dapat membawa kepada kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan negeri sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa yang jelas,” katanya.