KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang diesel melalui Ops Tiris di Penampang pada malam Jumaat.
Pada sekitar jam 9.10 malam, pasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Sabah menahan dua buah kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda dan lori masing-masing mengandungi 900 liter dan 600 liter diesel dalam tangki tambahan ketika cuba membuat pembelian minyak diesel di sebuah stesen minyak di sekitar Jalan Penampang.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkatadua orang lelaki warga tempatan berumur 40 dan 29 tahun yang merupakan pemandu turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan susulan serbuan 9.10 malam itu.
“Nilai sitaan keseluruhan termasuk 1,500 liter minyak diesel, kenderaan pacuan empat roda jenama Isuzu Trooper dan lori jenama Toyota Dyna termasuk tangki, pam dan hos minyak berjumlah RM 43,855.
“Berdasarkan keterangan awal, kedua-dua pemandu kenderaan yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan membawa minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan.
“Dikenalpasti juga modus operandi bagi aktiviti ini adalah membeli minyak diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak yang beroperasi sebelah malam dan memgumpulkannya sebelum disyaki menjual kepada pihak yang tidak layak menggunakan minyak diesel bersubsidi dengan harga yang lebih tinggi,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.






